Translation

Bait Suci Bangkok: Sebuah Berkat Bagi Orang Suci Asia Tenggara

Para ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir di Asia Tenggara membuat perjalanan ke rumah Tuhan di Bait Suci Bangkok Thailand.

(Untuk Kegunaan Orang Bukan Islam Sahaja)


Di akhir tahun 2024, lebih daripada 50 ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir dari Malaysia Timur menghadiri Bait Suci Bangkok Thailand, menjadikan impian penerimaan berkat bait suci suatu realiti. Para ahli datang dari daerah Sibu dan Kota Kinabalu, yang terletak di negeri Sarawak dan Sabah.

Bangkok-Temple-2024.jpg
Bangkok-Temple-2024.jpg
Bangkok Thailand Temple2025 by Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved.
DOWNLOAD

Bagi ahli-ahli Gereja, bait suci dianggap sebagai rumah Tuhan dan ia menyediakan peluang untuk terlibat dalam tatacara (atau upacara) kudus yang menyatukan keluarga selamanya dan menyediakan berkat yang besar bagi nenek moyang di akhirat. Ahli-ahli menyelidik sejarah keluarga mereka sebelum ke bait suci untuk melaksanakan tatacara-tatacara bagi nenek moyang mereka. Peluang ini hanya tersedia di bait suci Gereja, menjadikan lawatan ke bait suci suatu usaha yang penting dan bermakna bagi ahli-ahli Gereja yang setia. 

Beberapa keluarga dari Sibu tiba di Bangkok pada 25 September 2024 dan ditemani oleh Mike Khimmy dari presidensi daerah Malaysia Timur dan isterinya Lily. Mereka melayani sebagai penterjemah dan pembimbing di bait suci, kerana mereka mempunyai pengalaman bait suci sebelum ini. Kumpulan itu juga menerima satu kunjungan yang tidak tersangka dari Kayden Stosich, seorang sukarelawan sepenuh masa yang telah melayani misi di Sibu selama sembilan bulan, serta isterinya Maddie. Stosich memainkan peranan dalam memperkenalkan ramai orang Sibu kepada agama ini, maka ia amat istimewa bagi para ahli untuk memperoleh bantuan daripada dia dan isterinya yang turut membantu sebagai pembimbing di bait suci.

Pada 27 September 2024, pemimpin gereja Steven Girik dan Clarence Sigau, presiden cabang bagi Sibu Pertama dan Sibu Kedua, telah dimeteraikan kepada keluarga mereka: Steven bersama isterinya Senah serta empat anak mereka, dan Clarence bersama isterinya Florence serta anak perempuan mereka yang berumur 12 tahun. Pemeteraian ini membolehkan mereka menikmati perhubungan keluarga yang abadi, jika mereka kekal beriman. Lam Kiong, presiden Kuorum Penatua dari cabang Sibu Kedua juga telah dimeteraikan bersama isterinya, Wenya, yang membolehkan perkahwinan mereka untuk kekal selamanya.

Pada akhir bulan Oktober, 33 Orang Suci Zaman Akhir dari jemaah Kota Kinabalu membuat perjalanan dari Sabah, Malaysia ke Bait Suci Bangkok. Kumpulan ini juga terdiri daripada ahli-ahli yang melawat bait suci buat pertama kali dan yang belum kembali ke bait suci lebih daripada 15 tahun. Gaadong Anak Sandong dan isterinya Norlia Rosman telah pergi ke Bait Suci Manila Filipina pada 2009 dan tidak berkemampuan untuk pergi ke bait suci lagi sejak itu. “Untuk kembali ke bait suci adalah satu mukjizat bagi kami,” kata Sister Norlia, “Kami telah berdoa agar satu hari nanti kami dapat kembali untuk mengalami kedamaian dan kebahagiaan bait suci.”

Untuk membantu ahli-ahli baharu bersedia untuk pergi ke bait suci, para misionari senior sepenuh masa, Scott dan Lois Sucher di Sarawak dan Bradley dan Marsha Douglas di Sabah telah membantu di Family Search Centers tempatan. Mereka telah membantu para ahli membuat penyelidikan genealogi dan menyusun nama-nama nenek moyang bagi tatacara bait suci yang akan dilakukan secara wakil bagi mereka. Melalui usaha ini, para ahli Sibu dapat menyelesaikan tatacara-tatacara bagi pihak 75 orang terkasih yang telah meninggal.

Lim Chun Kiong dari Tawau, Sabah, baru-baru ini telah menyelesaikan misi sukarelanya bagi Gereja, telah kehilangan bapanya ketika itu. Dia berkongsi bahawa bait suci telah membantu dia dan ibunya pulih dari kesedihan yang dialami. “Bapa saya telah meninggal dunia beberapa bulan lepas, ketika saya masih sedang melayani misi...saya menghabiskan misi dan diberkati untuk menemani ibu saya ke Bangkok untuk menerima berkat bait sucinya... Ibu dan Bapa telah disatukan dan dimeteraikan bersama dan kemudian saya dimeteraikan kepada mereka,” Lim berkata dengan penuh emosi.  Ibunya, Mince Lim, juga mengucapkan syukur bagi berkat ajaran-ajaran Yesus Kristus dan bait suci. Dia berkata dia telah menunggu bertahun-tahun untuk peluang menghadiri bait suci.


Alice Moses dan adik perempuannya Wilna dari Kota Kinabalu telah berpeluang untuk melaksanakan kerja bait suci untuk ibu bapa mereka yang telah meninggal dan disatukan bersama mereka secara abadi. “Saya telah merasai kehadiran ibu bapa di dalam bait suci ketika adik saya dan saya membantu ibu bapa kami menerima berkat bait suci mereka,” dia berkata. “Ini satu masa yang sangat emosional bagi kami – yang kami akan hargai sepanjang keabadian.” Secara keseluruhan, 350 tatacara bait suci telah disempurnakan oleh ahli-ahli Kota Kinabalu bagi ahli keluarga yang telah meninggal dunia.
 

Bait suci pertama dibina oleh Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir di Kirtland, Ohio pada 1836. Bait Suci Bangkok Thailand merupakan bait suci ke-185 yang telah dibaktikan sejak itu.  Kini, Gereja mempunyai 202 bait suci yang beroperasi, 52 sedang dibina, dan 113 tapak yang telah diumumkan diseluruh dunia. Gereja telah ditubuhkan di Malaysia pada 1974 dan ahli-ahli Malaysia menunggu penyiapan dua bait suci berdekatan; satu di Phnom Penh, Kemboja, dan satu lagi di Singapura.

Style Guide Note:When reporting about The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints, please use the complete name of the Church in the first reference. For more information on the use of the name of the Church, go to our online Style Guide.