2026_02_03_Newsroom_Milan_OlympicAnnouncement_12.jpg
Translation

Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir Mengumumkan Sokongan terhadap Sukan Olimpik dan Paralimpik Musim Sejuk Utah 2034

(Kandungan Ini adalah untuk Kegunaan Orang bukan Islam Sahaja)

Ketika perhatian dunia tertumpu kepada Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026 yang bakal berlangsung, Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir pada hari Selasa mengumumkan sokongannya terhadap Sukan Olimpik dan Paralimpik Musim Sejuk Utah 2034 dalam satu acara media di ibu pejabat Milan Foreign Press Association (Persatuan Akhbar Asing Milan). Komitmen tersebut merangkumi sumbangan kewangan, sokongan penyediaan lokasi, penggunaan tanah, serta ribuan sukarelawan ketika Salt Lake City bersiap sedia untuk sekali lagi menyambut kedatangan dunia.

Pengumuman itu dibuat ketika perhatian global beralih ke utara Itali menjelang Sukan Olimpik Musim Sejuk Milano Cortina 2026, yang telah bermula pada 6 Februari.

Downloadable B-roll & SOTs

Semasa acara tersebut, Uskup Sean Douglas, Penasihat Kedua dalam Uskup Utama Gereja, membacakan satu kenyataan yang menggariskan komitmen menyeluruh untuk menyokong kejayaan Sukan 2034. Komitmen tersebut merangkumi sumbangan kewangan yang besar, penyediaan akses kepada hartanah milik Gereja yang dikenali di Salt Lake City sebagai Block 85 untuk dijadikan lokasi rasmi Olimpik, serta penyediaan tanah tambahan berhampiran tapak Olimpik yang dicadangkan bagi tujuan parkir.

Uskup Douglas turut menyatakan bahawa ahli-ahli Gereja akan digalakkan untuk berkhidmat sebagai sukarelawan, selaras dengan penekanan berterusan Gereja terhadap pelayanan, layanan mesra serta pengukuhan institusi keluarga.

“Walaupun sumbangan kewangan dan hartanah ini penting,” kata Uskup Douglas, “yang jauh lebih bernilai ialah keikhlasan hati serta komitmen luar biasa para sukarelawan dalam kalangan ahli kami, yang menjadikan sumbangan ini benar-benar lengkap dan istimewa.”

Penglibatan Gereja ini meneruskan tradisi panjang penyertaan bermakna dalam penganjuran Sukan Olimpik. Menjelang penganjuran Sukan Olimpik dan Paralimpik Musim Sejuk 2002 di Salt Lake City, Gereja telah menyediakan sokongan kewangan, kemudahan tapak serta ribuan sukarelawan. Kerjasama yang diumumkan bagi tahun 2034 ini meneruskan legasi pelayanan serta semangat kerjasama yang telah lama terjalin.

Fraser Bullock, pengerusi eksekutif dan presiden Utah 2034, merakamkan penghargaan atas sumbangan Gereja sambil menegaskan bahawa kerjasama organisasi komuniti seperti Gereja menjadi antara sebab utama Utah berada dalam kedudukan terbaik untuk sekali lagi menganjurkan acara yang berjaya.

“Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir ialah sebahagian penting daripada warisan Utah serta penyokong utama Sukan Musim Sejuk 2002,” kata Bullock. “Hubungan baharu ini memperkukuh kerjasama yang terjalin sejak 2002. Ia juga memperluas jangkauan global Gereja yang membawa pesanan sejagat tentang perpaduan dan pelayanan kepada sesama — selaras dengan nilai-nilai Olimpik dan Paralimpik.”

Bullock turut merujuk kepada penganjuran pada tahun 2002, di mana Utah berjaya menganjurkan Sukan Olimpik yang mendapat pujian meluas, ditandai oleh semangat perpaduan, kesukarelawanan dan perayaan budaya.

“Salt Lake City, ibu negeri Utah, akan menjadi nadi sukan ini,” kata Bullock, merujuk kepada lokasi utama di pusat bandar. “Bayangkan ribuan pengunjung berhimpun saban malam di Medals Plaza, terpesona oleh aksi akrobatik udara yang mengagumkan sertai dengan acara big air.”

Komitmen Berterusan dalam Mengalu-alukan Dunia

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada tahun 2024 ketika Salt Lake City dinamakan sebagai bandar tuan rumah Sukan 2034, Presidensi Utama menyatakan bahawa Gereja “bersedia menyokong Sukan Olimpik 2034 dalam menyambut atlet, sukarelawan dan pengunjung dari seluruh dunia,” serta komited membantu Salt Lake City menzahirkan “nilai pelayanan, kerjasama dan saling menghormati.”

Pengumuman pada hari Selasa di Milan sekali lagi menegaskan komitmen tersebut.