Translation

Mengimbau Kembali Tahun Usaha Kemanusiaan di Malaysia Timur

Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir di Malaysia bergabung tenaga dengan beberapa NGO tempatan untuk melayani ratusan penduduk dalam komuniti mereka.

(Kandungan Ini adalah untuk Kegunaan Orang bukan Islam Sahaja)

Selama bertahun-tahun, Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir telah bekerjasama dengan NGO tempatan untuk melayani ratusan penduduk. Pada tahun 2024, mereka telah menyokong banyak usaha kemanusiaan di Malaysia Timur, membiayai dan membantu pelbagai tujuan tempatan.

Hadiah Penglihatan
Satu kerjasama utama digelar sebagai ”Hadiah Penglihatan”. Inisiatif ini telah membantu ratusan warganegara Malaysia di negeri Sabah dan Sarawak.

Ramai orang Malaysia di kawasan terpencil tidak dapat atau enggan pergi ke hospital atau klinik untuk menerima pemeriksaan penglihatan. Malah, Sabah telah dikenal pasti sebagai salah satu kawasan Asia yang mempunyai kejadian katarak yang tertinggi. Kerjasama antara NGO dan Gereja menyediakan para penduduk ini dengan cara yang selamat dan berpatutan untuk menerima saringan penglihatan, dan juga pembedahan katarak percuma, jika perlu.

2024-EM-Humanitarian---Gift-of-Sight-1.jpg
2024-EM-Humanitarian---Gift-of-Sight-1.jpg
Sukarelawan kemanusiaan Gereja meraikan bersama seorang pesakit selepas menerima pembedahan katarak, Sabah, Malaysia, 2024.2025 by Intellectual Reserve, Inc. All rights reserved.
DOWNLOAD

Pada awal tahun 2024, Gereja, bersama dengan sembilan Kelab Rotary di Kota Kinabalu, Sabah, memulakan satu kempen untuk memberikan penglihatan yang lebih baik kepada komuniti di luar bandar melalui kem saringan penglihatan. Mereka yang datang ke kem ini sering dirujuk kepada seorang pakar dan akan diberikan pembedahan katarak percuma untuk memulihkan atau meningkatkan penglihatan mereka. Penyelarasan acara saringan, lawatan perubatan dan pembedahan memerlukan usaha yang luar biasa oleh para sukarelawan Kelab Rotary. Mereka bekerjasama dengan hospital, para doktor, dan kakitangan yang sukarela untuk membuat pengaturan yang diperlukan untuk melayani komuniti luar bandar.

Seorang sukarelawan senior Gereja, Sister Marsha Douglas, mengatakan, “Acara saringan penglihatan di komuniti luar bandar memberi harapan kepada mereka yang terpinggir, termasuk ramai orang tua yang sangat memerlukan penglihatan mereka dipulihkan. Sungguh mengharukan dikelilingi oleh keluarga yang menunjukkan kesyukuran dengan ikhlas dan rendah hati untuk sumbangan yang mereka terima.“

Seorang dari penerima sumbangan pembedahan dan kanta baru mengatakan, “Untuk pertama kalinya dalam bertahun-tahun, saya boleh melihat cucu-cucu saya.“ 

Philip Chong, bekas Presiden Kelab Rotary Likas Bay menerangkan, “Sembilan kelab kami datang bersama Gereja untuk memberikan rakyat Sabah di luar bandar peluang untuk menguji penglihatan mereka…menerima pembedahan katarak percuma atau cermin mata untuk membaik pulih kualiti hidup mereka. Ini adalah hadiah yang mengubah kehidupan.”

Di negeri Sarawak, sukarelawan kemanusiaan Gereja telah bekerjasama dengan Kelab Rotary di Kuching Central. Mereka berkunjung ke hospital dan klinik luar bandar untuk mengenal pasti pesakit yang layak.  Sekumpulan pakar bedah dan kanta yang diperlukan tiba di tapak tepat pada masanya untuk proses saringan dan pembedahan. Usaha ini menyediakan pemulihan penglihatan yang mungkin tidak akan tersedia untuk mereka. Dari 6-8 September 2024, satu pasukan tiba di Hospital Simunjan, di mana 47 pesakit telah menjalani pembedahan katarak. Jabatan Oftalmologi Hospital Umum Sarawak menyediakan doktor untuk melaksanakan pembedahan tersebut.
 

Sebagai sebahagian daripada usaha kemanusiaan di Sabah, Gereja telah mendermakan 350 kanta katarak dan 2000 set cermin mata kepada 10 komuniti luar bandar. Lawatan baru-baru ini di Sarawak menjadikan jumlah pesakit katarak Hadiah Penglihatan seramai 559 orang. 

Sehingga kini, komuniti di mana kem saringan penglihatan telah diadakan termasuk: Kota Belud, Kota Marudu, Pitas, Kudat, Kota Kinabalu dan Beaufort. Kem tambahan dan pembedahan berikutnya akan diteruskan dan diselesaikan pada awal bulan 2025.

Misi Perubatan Bergerak
Projek kemanusiaan lain yang berkenaan termasuk lawatan perubatan bergerak ke pulau terpencil Tigabu di wilayah Kudat. Sukarelawan kemanusiaan Gereja bekerja dengan majlis NGO MERCY Sabah Malaysia untuk menyediakan sokongan perubatan kepada yang kurang mendapat perkhidmatan. Hasil kerjasama ini menyediakan lebih separuh daripada komuniti kampung dengan rawatan percuma, ubat-ubatan, dan pendidikan kesedaran. Misi bantuan tiga hari itu merangkumi lebih daripada 20 sukarelawan menyediakan sokongan pergigian, perubatan, farmaseutikal dan kebersihan peribadi, serta bekalan kepada pulau yang mempunyai lebih daripada 500 penghuni. Sumbangan Gereja termasuk semua kos berkaitan perjalanan: makanan dan minuman untuk sukarelawan, bekalan perubatan untuk doktor dan doktor gigi, kit kebersihan, ubat-ubatan, dan semua perbelanjaan kempen kesedaran.

Sistem Air Graviti – Air adalah Kehidupan
Dengan kerjasama Kelab Rotary Kota Kinabalu Pearl, Gereja telah membantu membolehkan sembilan perkampungan luar bandar untuk menerima air bersih terus ke rumah mereka. Dalam masa tujuh bulan, bersama dengan Jawatankuasa Rotary WASH (Air, Sanitasi, dan Kebersihan) mereka mengatur jawatankuasa kerja, mendapat barangan dan menyiapkan pembinaan sistem pengagihan air graviti. Kampung-kampung yang dibantu adalah: Pahu Pinawatai, Kinarutan, Muruk, Tudangan, Lipoi, Tangkol, Nasapu, Kubulu, dan Layung di daerah Ranau, Marudu dan Pitas. 

Daripada pengalaman ini, Rosie Chong, bekas Presiden Kelab menyatakan, “Kelab kami menghargai kerjasama dengan Gereja dan sumbangan mereka membolehkan kami untuk membantu banyak kampung luar bandar Malaysia yang sangat memerlukan air bersih untuk kehidupan seharian mereka. Bersama-sama kita membantu memberikan kesan kepada banyak kehidupan untuk kebaikan.“
 

Bulan Sabit Merah – Ambulans dan Defibrilator
Di Sarawak, sukarelawan kemanusiaan Gereja bekerja bersama organisasi Bulan Sabit Merah untuk menyediakan 15 defibrilator luaran automatik (AED) di kampung kecil seperti Tapah. Pada Ogos 2024, mereka menghadiahkan ketua MRC Bulan Sabit Merah cabang Serian, Lai Chau Liong, dengan kunci van ambulan yang baharu. Dalam ucapan nya, Lai menyatakan kesyukurannya kepada Gereja atas kebaikan dan sokongan kepada mereka. Tambahnya lagi “Kami bertekad untuk menghormati dedikasi dan belas kasihan diberikan kepada kami dan meneruskan misi dalam membantu dan menyokong mereka yang memerlukan.“ (Sumber: The Borneo Post – Online, 2 Ogos 2024).

Usaha Bantuan Banjir
Di Penampang, Sabah, Gereja bekerjasama lagi dengan Kelab Rotary Kota Kinabalu Pearl untuk memberi bantuan bekalan kepada komuniti yang mengalami banjir. Pada 11 Julai 2024, sukarelawan kemanusiaan Gereja disertai oleh Presiden Kelab Chendra Sinteh dan ahli lain, melawat Pagansakan, Inobong untuk menghantar 53 set tilam, bantal, cadar, sarung bantal, dan selimut kepada mangsa banjir.

Jambatan Kenderaan dan Tempat Letak Kereta
Tahun lepas, sumbangan kemanusiaan Gereja juga termasuk pembinaan jambatan kenderaan untuk Sekolah Sungai Buloh di daerah Selangau Sarawak. Projek ini menggantikan jambatan lama yang tidak stabil untuk manfaat kepada komuniti kecil di kawasan Sibu. Tempat letak kereta untuk guru dan kakitangan sekolah juga dibina sebagai sebahagian daripada projek.

Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir pertama kalinya datang ke Malaysia pada tahun 1974 dan sejak itu telah terlibat secara aktif dengan pelbagai usaha kemanusiaan. Projek-projek ini termasuklah membantu panggilan kecemasan, pelajaran, kesihatan, penjagaan penglihatan, air bersih dan kebersihan. Ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir adalah pengikut Yesus Kristus. Mereka memperjuangkan nilai keluarga dan suka melayani sesama manusia.

Style Guide Note:When reporting about The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints, please use the complete name of the Church in the first reference. For more information on the use of the name of the Church, go to our online Style Guide.