Translation

Remaja dan Belia Berhimpun bagi Meraikan Hari Keamanan Antarabangsa

Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir di Malaysia mengadakan persembahan bersama kumpulan lain di festival muzik dan tarian antara agama sebagai memperingati Hari Keamanan Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

(Untuk Kegunaan Orang Bukan Islam Sahaja)

Remaja dan belia dari Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir berhimpun bersama pelbagai agama pada 21 September 2024, untuk meraikan Hari Keamanan Antarabangsa (IDP). Secara rasmi dikenali sebagai Hari Keamanan Sedunia, IDP adalah hari peringatan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan disambut setiap tahun. Tema untuk tahun ini ialah “Memupuk Budaya Keamanan.”

Acara ini dianjurkan oleh Soka Gakkai Malaysia (SGM) dan diadakan di Pusat Kebudayaan Soka Gakkai di Klang, Selangor. Vincent Leong dari Interfaith Spiritual Fellowship (INSaF) adalah pengerusi penganjur untuk acara ini. Beberapa ahli tempatan dan sukarelawan senior dari Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir di Malaysia, yang merupakan ahli jawatankuasa aktif di INSaF, membantu dengan persiapan program.

Ratusan orang hadir untuk menikmati program tersebut, yang dimulakan dengan ucapan daripada tetamu kehormat dan pengiktirafan terhadap banyak organisasi yang menyumbang. Gereja, agama Islam, Buddha, dan kepercayaan Baha’i, bersama dengan organisasi pelarian Youth Empowerment Support (YES), turut diwakili.

Dato’ Ambiga Sreenevasan, presiden Persatuan Pure Life, memberikan ucapan pembukaan, menekankan keperluan untuk tindakan kolektif dan perpaduan seluruh umat manusia bagi mengatasi isu global semasa. Presiden SGM, Johnny Ng, kemudian menyatakan harapannya agar acara ini dapat meningkatkan persahabatan dan mengatasi perbezaan. Penceramah penutup ialah Yang Berhomat Senator Saraswathy Kandasami, Timbalan Menteri Perpaduan Negara, yang memuji penganjur dan usaha mereka.

Selepas ucapan itu, festival muzik dan tarian dimulakan dengan ahli-ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir Daerah Kuala Lumpur yang menyediakan persembahan muzikal. Pertama, Sister Annabelle Yu, seorang remaja Gereja, diiringi oleh Pengarah Muzik Daerah Sister Dawn Chow untuk solo biola lagu “I Need Thee Every Hour (Ku MemerlukanMu Tiap Saat)”. Persembahannya diikuti oleh koir ahli daerah yang menyanyikan, “Ming Tian Hui Geng Hao (Esok Akan Lebih Baik)” dalam bahasa Mandarin.

Sister Rachel Liu, wakil koir daerah, telah mengumumkan persembahan muzikal Gereja dan menyebut tentang usaha-usaha yang telah Gereja lakukan untuk mencipta “masa depan yang lebih baik” bagi masyarakat di Malaysia Timur. Dia berkongsi mengenai bagaimana Gereja telah memberikan kerjasama dan pembiayaan kepada banyak pertubuhan bukan kerajaan tempatan pada tahun ini. Dana-dana tersebut telah digunakan untuk, antaranya: membeli bekalan perubatan, pergigian, dan farmaseutikal; membina sistem pengagihan air bersih melalui graviti; menyediakan kanta dan peranti untuk pembedahan katarak; serta membeli ambulans baharu untuk Bulan Sabit Merah Malaysia.

Ahli gereja menutup bahagian muzikal mereka untuk program tersebut dengan lagu “Let There Be Peace on Earth”, yang dipersembahkan oleh koir sukarelawan muda sepenuh masa mereka. Lagu ini asalnya ditulis pada tahun 1955 untuk Koir Kanak-Kanak Antarabangsa. Lirik lagu ini merangkumi intipati harapan dan menyampaikan rasa perpaduan yang melangkaui sempadan bahasa dan budaya.

Selepas Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, School of Art and Islamic Entertainment (Muslim) telah mempersembah koir lelaki; United Malaysian Hindu Voice pula mempersembahkan beberapa tarian tradisional; Soka Gakkai Malaysia (Buddha) telah mempersembahkan tarian budaya Dunhuang yang indah; Komuniti Baha'i Malaysia mempersembahkan tarian interpretatif yang melambangkan perpaduan dan kasih; dan YES menutup program dengan persembahan koir kanak-kanak yang ceria.

Setelah ucapan penutup oleh Leong, semua peserta persembahan yang terlibat pada malam itu dijemput kembali ke pentas untuk menyertai dalam persembahan muzikal, “We Are the World”. Orang ramai menghargai detik tersebut sambil berdiri, bergoyang dan bertepuk tangan, serta menyanyi bersama para peserta persembahan. Ia merupakan detik yang menyentuh hati yang menyampaikan semangat keamanan dan persaudaraan sejagat, selepas petang yang dipenuhi dengan perkongsian budaya dan muzik.

“Saya amat bersyukur atas peluang untuk menghadiri persembahan muzik Hari Keamanan Antarabangsa yang penuh dengan kepelbagaian budaya dan rohani ini,” kata Presiden Tan How Hang, presiden Gereja Cabang Cheras. “Saya tahu muzik yang baik dan mengilhami mampu membawa keamanan, kegembiraan, dan kekuatan ke hati semua orang.”

Sister Letty Sim, Pengarah Komunikasi Nasional bagi Gereja di Malaysia, turut berucap tentang acara ini, “Semasa kita semua meraikan Hari Keamanan Antarabangsa, saya teringat apa yang Nabi kita, Presiden Russell M. Nelson, sarankan kepada kita sebagai ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, iaitu memilih untuk menjadi pendamai sekarang dan selamanya.”

Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir mula hadir di Malaysia pada tahun 1974 dan sejak itu telah aktif menyertai pelbagai acara antara agama. Mereka merupakan penyokong yang kuat untuk keamanan, hak yang sama rata, serta bertanggungjawab dalam menjaga bumi kita.

Style Guide Note:When reporting about The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints, please use the complete name of the Church in the first reference. For more information on the use of the name of the Church, go to our online Style Guide.