(Untuk Kegunaan Orang Bukan Islam Sahaja)
Sepanjang tahun 2025, remaja Orang Suci Zaman Akhir yang berumur 11 hingga 18 tahun akan digalakkan untuk “lihat kepada Kristus.”
Presidensi Umum Remaja Puteri dan Remaja Putera dari Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, yang mengawasi program-program Gereja untuk remaja, mengumumkan pada hari Selasa, 17 September, bahawa tema remaja 2025 adalah “Lihat kepada Kristus” dari tulisan suci Ajaran dan Perjanjian 6:36, yang berbunyi, “Lihatlah kepada-Ku dalam setiap pemikiran; janganlah ragu, janganlah takut.’’
Ibu bapa dan pemimpin remaja digalakkan untuk mengajar asas dari tema di rumah dan di gereja sepanjang tahun. Tema ini boleh digunakan sebagai topik untuk ucapan pertemuan Ahad yang diberikan oleh remaja dan boleh dijadikan fokus untuk aktiviti remaja, termasuk perkhemahan, persidangan remaja dan pertemuan rohani. Tema ini akan ditekankan semasa persidangan Untuk Kekuatan Remaja (FSY) dan pertemuan rohani remaja sedunia.
Sumber untuk mengajar tema 2025, termasuk logo, album muzik tema, video dan karya seni yang boleh dimuat turun akan tersedia pada Ahad, 27 Oktober, di Youth.ChurchofJesusChrist.org. Sumber tambahan akan tersedia dalam edisi Januari majalah “Untuk Kekuatan Remaja”.
Presiden Umum Remaja Puteri Emily Belle Freeman berkata bahawa ayat suci tema untuk tahun ini bertujuan untuk memperkuatkan remaja — terutama di saat-saat keraguan atau ketakutan.
“Apakah jawapan untuk saat-saat seperti ini? Lihatlah kepada Kristus,” kata Presiden Freeman. “Kenapa itu jawapannya? ‘Lihatlah luka-luka yang menusuk sisi tubuh-Ku, dan juga bekas paku di tangan dan kaki-Ku,’ Dia mengingatkan kita (Ajaran dan Perjanjian 6:36-37). Dia telah mengatasi dunia, termasuk setiap keraguan dan ketakutan. Jika kita lihat kepada Dia, Dia akan membantu kita mengatasinya.”
“Kami berharap bahawa remaja Gereja akan mendapat kedamaian dengan melihat kepada Kristus untuk mengetahui dan mematuhi perintah-perintah-Nya,” kata Presiden Umum Remaja Putera Steven J. Lund.
Dia berkata dia belajar daripada seorang rakan polis motosikal bahawa rahsia untuk memastikan mesin besar itu tegak di atas jalan raya adalah dengan “lihat ke mana anda mahu pergi, dan motosikal akan pergi ke mana anda lihat.”
Begitu juga, untuk “melihat kepada Kristus bermakna kita melihat kepada-Nya seperti kita melihat kepada kompas atau mercu tanda atau papan tanda jalan,” kata Presiden Lund. “Melihat tidak bermakna apa-apa jika kita memilih untuk tidak mengikuti arahan. Kita benar-benar melihat kepada-Nya hanya apabila kita bersedia mengikut perintah-Nya.”
Presiden Freeman berkata mereka berharap remaja akan meluangkan sepanjang tahun melihat kepada Kristus — “di koridor sekolah, di tepi acara sukan mereka, pada hari pertama pekerjaan baharu, ketika mereka membaca kitab suci, meluangkan masa dengan rakan-rakan dan dalam saat-saat tenang untuk merenung.”
“Dia akan menjadi kekuatan anda,” katanya. “Lihat kepada-Nya.”
Tema remaja setiap tahun berasal dari kitab suci yang dipelajari dengan kurikulum “Ikutlah Aku” untuk Individu dan Keluarga untuk memperdalam penukaran hati kepada Yesus Kristus. Pada tahun 2025, “Ikutlah Aku” akan memfokuskan pada kajian Ajaran dan Perjanjian.
Tema remaja 2024 adalah “Aku adalah pengikut Yesus Kristus,” dari 3 Nefi 5:13.